Perjalanan Yang Baru Bermula

Assalamualaikum wbt...

Rasa dah lama tak menconteng di sini. Apa khabar sahabat-sahabat semua. Semoga kita semua berada di bawah lembayung rahmat Allah swt sentiasa...Amin Ya Rabb..Tiada apa yang hendak saya sampaikan. Sekadar ingin bercerita serba sedikit mengenai diri saya sejak kebelakangan ini. Alhamdulillah..saya sudah bekerja. Dan pekerjaan ini adalah pekerjaan yang sangat-sangat saya idamkan sejak dulu. Syukur ke hadrat Allah swt kerana memakbulkan doa saya. Tak sangka Allah masih lagi memandang hamba-Nya yang hina ini. 

Niat saya untuk membuat perubahan ke atas diri juga telah Allah permudahkan. Siapa sangka tempat yang saya duduk sekarang penuh dengan orang-orang yang tidak berhenti mengagung-agungkan kalimah Allah swt. Subhanallah.. Sekali lagi Allah mendengar rintihan hamba-Nya yang sangat-sangat memerlukan hidayah ini. Boleh dikatakan setiap hari saya menitiskan air mata dek melihat diri yang sangat jauh berbeza dengan rakan-rakan yang lain. Kadang-kadang hati tersentuh bila melihat anak-anak kecil seawal umur 4 & 5 tahun sudah mampu menghafal bacaan dalam sembahyang. Malahan bacaan ayat-ayat lazim sentiasa bermain di lidah mereka. Allah...terasa hina diri ini. Anak-anak kecil itu lagi hebat dari diri ini. Tidak layak rasanya untuk dibandingkan dengan mereka. 

Dulu saya jauh tersasar. Leka dengan nikmat dunia yang tidak dapat dinafikan keseronokannya tetapi hakikatnya kosong. Saya berasa seronok tapi seronok yang tak menggembirakan. Seolah-olah saya melihat cermin tapi saya sendiri tak dapat lihat wajah saya di cermin tersebut. Kosong! Setiap hari buat perkara yang sama. Pergi kuliah, balik kuliah, keluar dengan kawan-kawan. Solat pun sekadar memenuhi kewajipan. Saya sedar tanggungjawab saya sebagai seorang Islam. Saya tutup aurat, saya solat, saya baca al-quran. Tapi hati tetap berasa sangat-sangat kosong. 

Kadang-kadang saya terfikir. Kenapa susah untuk hati saya berasa tenang. Apa lagi tuntutan Allah yang saya tak buat. Dan pada masa itu saya sangat-sangat suka melihat wanita-wanita yang bertudung labuh siap berstokin. Hati saya tenang melihat mereka. Dan tanpa saya sedar terdetik dihati alangkah baiknya kalau saya menjadi seperti mereka. Setiap kali saya lalu ditepi masjid hati saya terasa sayu sekali. Saya jeles melihat kelibat-kelibat manusia di dalam masjid tersebut yang khusyuk mendengar tazkirah maghrib dan sibuk ber"usrah". Hati ini teringin sangat-sangat mahu melangkah kaki ke sana tapi niat itu terhalang dek melihat rakan-rakan sekeliling yang langsung tak mempunyai rasa seperti apa yang saya rasa. Ohhh! Sesungguhnya saya belum kuat untuk berjuang seorang diri. 

Alhamdulillah..saya dapat menamatkan pengajian saya tepat pada waktunya. Setamat dari pengajian saya nekad untuk bertegas dengan diri sendiri. Saya tak sanggup hidup dalam kekosongan. Sesungguhnya saya bukanlah bermula dengan zero. Saya dididik dengan didikan agama yang sempurna. Juga pernah bersekolah di sekolah agama. Mungkin itu salah satu sebab mengapa saya berasa sangat kosong dengan diri sendiri. Saya tak beramal dengan ilmu yang saya ada. Malahan terdapat juga perkara-perkara yang telah saya lupa..........Astagfirullahalazimm..................Allah ya Allah....T_T

Sesungguhnya Allah sangat menyayangi hamba-hamba-Nya. Satu hari saya mendapat panggilan daripada seseorang yang kini telah menjadi majikan saya. Pada mulanya saya memohon kerja sekadar suka-suka. Tapi takdir Allah telah membuatkan saya berada di tempat ini pada ketika ini. Setibanya saya di sini saya sedar bahawa inilah peluang yang Allah berikan pada saya untuk saya kembali pada jalan-Nya. Tempat ini bukan sahaja tempat untuk saya bekerja mencari rezeki tapi juga adalah tempat untuk saya tarbiyah diri sendiri. Walaupun di sini saya mengajar anak-anak kecil tapi hakikatnya anak-anak kecil inilah yang mengajar dan mendidik saya untuk menjadi seorang muslimah yang mencintai tuhan-Nya. Masyaallah... saya tak akan dapat peluang ini di tempat lain. Saya sudah penat merantau di tempat orang dan saya rasa inilah tempat yang terbaik untuk diri saya. 

Di sini sedikit demi sedikit saya berubah. Dah lama saya tak merasa nikmatnya solat. Selama ini saya solat tapi solat sekadar melepaskan tanggungjawab. Allah...kalau dihayati solat yang kita kerjakan tak mustahil kita akan menangis. Rasa tersangat kerdil diri ini bila menghadap Allah. Dulu kalau baca al-quran setakat baca. Tapi sekarang rasa sangat berbeza lebih-lebih lagi kalau kita tahu makna disebalik ayat tersebut. Tak malu untuk saya katakan di sini yang kadang-kadang saya lupa mana-mana ayat yang dahulunya saya hafal dan kini saya terpaksa buka semula kitab-kitab lama dan belajar semula. Kadang-kadang sambil-sambil membelek kitab-kitab lama, saya menangis mengenangkan betapa saya telah mensia-siakan ilmu saya.

Selain itu, pandangan saya mengenai penjagaan aurat turut berubah. Saya dah pernah melalui dua dunia. Sememangnya perbezaannya sangat ketara. Kalau dulu soal aurat sekadar mengikut syarat. Yang penting tutup dada. Tapi sekarang bila saya membuat perubahan kepada yang lebih baik, saya dapat rasa perbezaannya. Walaupun tidak bertudung labuh seperti yang di idamkan (InsyaAllah satu hari nanti) tapi untuk permulaan saya sentiasa berstokin untuk kemana-mana. Bila pakaian kita elok secara automatik kita segan untuk membuat perkara-perkara yang tidak baik. Malahan orang sekeliling turut berasa hormat. Tidak mudah sebenarnya untuk saya menjadi seperti sekarang. Sekarang pun masih belum cukup sempurna perubahan saya. Banyak lagi perkara yang perlu dibuat. Sangat susah untuk bermujahadah. Tapi saya beruntung kerana Allah hadirkan kepada saya orang-orang yang baik. Allah beri saya tempat yang baik. Yang paling penting Allah beri saya peluang untuk kembali kepada-Nya...

Bila niat kita baik sudah tentu kita tak akan lari daripada di uji. Tak sampai sebulan saya di sini macam-macam perkara saya lalui. Kadang-kadang rasa lemah sangat-sangat. Rasa tak mampu untuk teruskan mujahadah. Lebih-lebih lagi bila ada kata-kata sinis yang sampai kepada saya. Kadang-kadang timbul tanda tanya layak ke saya ni untuk datang ke tempat macam ni. Layak ke saya untuk pakai baju seperti seorang muslimah sedangkan dulu saya bukan seperti ini. Macam-macam sehingga ada satu ketika saya hampir membuat keputusan untuk keluar dari tempat ini. Tapi Alhamdulillah.. Allah masih sayangkan saya. Saya diberi sahabat-sahabat yang tidak penat memberikan sokongan dan juga seorang majikan yang sangat-sangat bermotivasi. Di sini jugalah saya kenal dengan orang-orang yang dahulunya kisah silamnya lebih teruk dari saya. Tapi masyaAllah...Sekali Allah telah turunkan hidayah, mereka pegang peluang yang Allah berikan itu untuk terus berubah. 

Saya tidak menyesal bekerja di sini sebagai guru tadika. Walaupun gaji tidak selumayan seperti kerja-kerja lain tapi bukan itu yang saya kejarkan. Nilai dan ganjaran dari Allah yang saya utamakan. Saya di sini bekerja bukan setakat untuk diri saya tapi bak kata majikan saya, kita bekerja di jalan Allah. Kita mendidik anak-anak kerana Allah. Kita kenalkan anak-anak dengan ilmu Allah. Kita timbulkan rasa cinta anak-anak terhadap Rasulullah. Kaedah pengajaran anak-anak di sini berunsur islamik. Satu contoh yang saya belajar sekiranya kita nampak Amir sedang melukis jangan hanya sekadar melihat dan diam. Tapi berilah pujian sambil menyebut-nyebut nama Allah. Contoh " Cantiknya Amir lukis..Mesti Amir buat tu sambil berzikirkan kan..Allah pun suka benda yang cantik-cantik...Hebatlah Amir ni..Mesti Allah sayangkan!.." secara automatik walaupun sebelumnya anak itu tak berzikir tapi bila mendengar kita berkata demikian pasti dia akan berzikir. Saya dah cuba dan memang menjadi!^__^..

Banyak lagi ilmu-ilmu baru yang saya dapat di sini yang tidak akan saya dapat ditempat lain. Semoga hati saya akan terus teguh di sini. Saya bercerita bukan untuk memburukkan diri sendiri apatah lagi untuk berbangga. Sekadar satu peringatan terhadap rakan-rakan dan juga diri sendiri. Agar andai satu hari saya alpa, tulisan saya ini yang akan mengingatkan kembali siapa diri saya. Insyaallah....

**hampir seminggu bercuti...dah mula rindu dengan anak-anak kecil itu!>_<

Mujahadah Untuk-ku...

Sejak kebelakangan ini rasa seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran. Aku sendiri tak pasti. Mungkin kerana perubahan drastik yang aku lakukan menyebabkan jiwa seperti resah. Ya! Aku resah dengan kehidupan yang aku lalui. Seakan ada sesuatu yang tak kena. Kenapa?? Mengapa??? Semakin banyak persoalan yang seolah-olah sengaja hadir semata-mata untuk melemahkan semangat ini. Ya Allah...hadirkan rasa tabah itu...

Rasa hati yang bercelaru membuatkan aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah berjumpa mak dan abah. Subhanallah...hebatnya penangan seorang mak dan abah. Alhamdulillah...Hati kembali tenang. Aku pasti inilah jalan yang terbaik untuk ku yang telah Allah tetapkan...

Ya Allah.. Jika tempat ini sememangnya terbaik untukku, Kau tetapkan hatiku agar terus di sini..
Ya Allah.. Sekiranya tempat ini juga yang akan membuatkan aku semakin dekat dengan-Mu, Kau cekalkanlah hatiku agar tetap tabah mengharungi ujian-ujian yang akan menjadi penghapus dosa-dosa lalu ku...
Jangan Kau tarik hidayah ini dariku Ya Allah...
Aku pasti ujian ini merupakan tarbiyah dari-Mu...
Hadirkan aku rasa redha dalam mencari keredhaan-Mu Ya Rabbi...

Wahai diri...inilah mujahadah mu...

Mood: Mencari jalan pulang.....Segalanya kembali kepada Allah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...